KUCHING: Konvensyen Gabungan Parti Sarawak (GPS) yang dijadual berlangsung pada 7 November ini, akan ditangguh sebagai usaha mengekang penularan jangkitan Covid-19 dalam kalangan komuniti.
Perhimpunan itu dicadang diadakan Pusat Konvensyen Borneo Kuching (BCCK).
Naib Presiden Parti Pesaka Bumiputera Bersatu (PBB), Datuk Seri Abdul Karim Rahman Hamzah berkata, langkah penangguhan itu sebagai mematuhi arahan Kementerian Kesihatan Malaysia (KKM) yang tidak membenarkan sebarang aktiviti perhimpunan atau majlis sosial berkaitan pilihan raya di seluruh negara.
"Saya ada menyelidik sendiri dengan pihak penganjur kenapa konvensyen tersebut yang sepatutnya diadakan minggu depan terpaksa ditunda. Jadi maklum balas yang diberikan ialah kita mematuhi arahan daripada KKM supaya tidak ada perhimpuan politik diadakan," katanya.
Beliau berkata demikian pada sidang media selepas Majlis Penyerahan Insentif Kepada Atlet Sarawak yang memenangi Pingat di Sukan Paralimpik Tokyo 2020 di sini.
Majlis itu dihadiri Ketua Menteri Datuk Patinggi Abang Johari Tun Openg.
Tambah Karim yang juga Menteri Pelancongan, Kesenian, Kebudayaan, Belia dan Sukan, sekiranya dilihat dari perspektif lain ia merupakan tanggungjawab GPS demi menjaga keselamatan rakyat.
Katanya, GPS mementingkan kebajikan rakyat dan tidak mahu disebabkan perhimpunan itu boleh menimbulkan masalah lain termasuk kluster baharu.
"Kita akur pada arahan KKM kerana keselamatan rakyat lebih penting. Perhimpunan nanti boleh diadakan secara atas talian misalnya melalui aplikasi Zoom dan sebagainya," katanya.
Sebelum ini, KKM menguatkuasakan larangan tidak membenarkan sebarang aktiviti perhimpunan atau majlis sosial berkaitan pilihan raya termasuk pelancaran jentera bermula 25 Oktobet sehingga 27 November.
Menterinya, Khairy Jamaluddin berkata, KKM memaklumkan berdasarkan pemantauan situasi Covid-19 dalam negara, didapati antara penyumbang kepada peningkatan kes dan kluster di Malaysia berkait dengan aktiviti perhimpunan atau majlis sosial yang tidak mematuhi prosedur operasi standard (SOP).
Sumber dari : Jiwa Bakti